IMG_1459kkkkkkSahibus Samahah Dato’ Dr Haji Anhar bin Haji Opir dilahirkan pada 10 Januari 1976 di Kampung Sungai Serdang, merupakan Timbalan Mufti Negeri Selangor.

Memulakan pendidikan awal beliau di Sekolah Kebangsaan Sungai Serdang dan Sekolah Rendah Agama Sungai Serdang, Kapar, Klang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian peringkat menengah di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam dan seterusnya di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Kepimpinan beliau terserlah apabila dilantik sebagai Ketua Umum, Kolej Islam Sultan Alam Shah pada tahun 1995.

Sahibus Samahah Dato’ Dr Haji Anhar bin Haji Opir merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda jurusan Syariah Islamiah Universiti Al- Azhar pada tahun 1999. Beliau seterusnya menyambung pengajian Ijazah Sarjana, Falsafah Islamiah, Fakulti Darul Ulum, Cairo University pada tahun 2006.  Minat yang mendalam dalam bidang pengajian Islam membuatkan beliau meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam jurusan Fiqh dan Usul Fiqh di The World Islamic Science dan Education University, Jordan dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2015. Beliau juga merupakan Timbalan Presiden, Persatuan Melayu Republik Arab-Mesir pada tahun 1998-1999.

Memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA, Pahang pada tahun 2006, sebelum beralih ke Universiti Teknologi MARA, Melaka pada tahun 2007.  Beliau kini merupakan pensyarah kanan Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan di Universiti Sultan Idris Shah, Tanjung Malim. Dalam masa yang sama, beliau turut menjawat jawatan sebagai Timbalan Mufti Negeri Selangor, Pegawai Hal Ehwal Islam S54 mulai tahun 2016. Memperoleh Pengurniaan Darjah Seri Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Dato' pada Istiadat Pengurniaan Darjah/Bintang/Pingat Kebesaran Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Yang Ke 72.

Antara pencapaian Sahibus Samahah Dato’ Dr Haji Anhar bin Haji Opir ialah  Tesis ijazah sarjana beliau bertajuk 'Political Thinking Comparison Between Imam Haramain El Juwaini And Qadhi Abu Bakar Ibnu El- Arabi' (Pemikiran Politik Di Antara Imam Al-Haramain Al-Juwaini dan Al-Qadhi Abu Bakar Ibn Al-Arabi) dibahaskan pada 12 April 2006 di Darul Ulum, Cairo University. Beliau turut bertindak sebagai panel penceramah "Seminar Fiqh Penghayatan Solat" anjuran K-Fiqh, panel penceramah slot "Tabayyun" di Astro Oasis. Beliau turut dilantik menjadi panel Pakar Rujuk Haji dibawah Tabung Haji untuk tahun 2019/1440 Hijrah hingga kini. Selain itu, beliau turut memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah, Bank Negara, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan beberapa agensi milik kerajaan dan swasta.

 

Beliau juga sering menghasilkan penulisan-penulisan berkaitan Islam, antaranya, Sekularisma Politik Menurut Perspektif Islam, Muslim Dalam Mendepani Cabaran Dan Isu, Kewajipan Mahasiswa Berakhlak Dengan Akhlak Seorang Muslim, Pendidikan Siasah Dan Khilafah Islamiah Dalam Pendidikan Islam, Perspektif Dan Panduan Islam Terhadap Hiburan, Hukum Jual Beli Sebelum berlaku Qabadh, Perbezaan Di Antara Illah, Sebab dan Syarat dan yang terkini, Kewajipan Haji OKU dan Warga Emas Di Musim Wabak.

 

Halaman Utama